Khamis, 19 September 2013

KUASA ALLAH TAK TERBATAS...KALAU ALLAH KATA RUNTUH..RUNTUHLAH...ALLAH KATA MUSNAH MAKA MUSNAHLAH

Presiden PAS ziarah keluarga nahas 4 beranak

Salmiyah Harun, 18 Sep 2013

KAJANG: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini meluangkan masa melawat adik Mohd Nabil Lutfan Al Husna, mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan empat beranak di jalan Kajang-Banting baru-baru ini.

Tuan Guru Abdul Hadi yang ditemani isteri, tiba di Hospital Kajang kira-kira jam 3.15 petang tadi disambut bapa mangsa Mohd. Tauffid Kassim.

Turut bersama dalam rombongan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Bangi) Shafie Ngah, Ketua Pemuda PAS Serdang Mohd Adram Musa serta Ketua Muslimat PAS Serdang Hamsatul Hamzah.

Adik Nabil Lutfan adalah satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian 11.54 pagi, 9 September lalu itu.

Dalam kejadian itu ibunya Rohaya Md Rabi, 35, dan tiga adik beradiknya - Nur Nabila Al Huda Muhammad Tauffid, 9; Nur Nabila Al Hanan, 7; dan Muhammad Nabil Lutfi Al Hadif, setahun, maut di tempat kejadian selepas kereta kancil yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori.

Adik Nabil Lutfan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian kepala dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kajang.

Dalam lawatan petang tadi Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, sempat menanyakan doktor yang bertugas berhubung situasi terkini kanak-kanak yang berusia 3 tahun itu.

Tuan Guru juga turut memberi kata-kata semangat kepada Tauffid yang kelihatan masih bersedih dengan kejadian yang menimpa isteri dan anak-anaknya.

Dalam kesempatan itu, Tuan Guru turut menyampaikan sumbangan mewakili pihak PAS sebanyak RM50,000 kepada Tauffid.

Sumbangan tersebut merupakan hasil derma daripada orang ramai yang diusahakan oleh Dewan Muslimat PAS Serdang.

Dalam pada itu, Ketua Muslimat PAS Serdang Hamsatul Hamzah ketika ditemui berkata, ramai yang menghubungi pihaknya untuk menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa.

"Kita berterima kasih kepada penyumbang dan hari ini kita sampaikan amanah orang ramai kepada keluaga mangsa," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata sumbangan itu juga adalah hasil usaha Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Pusat yang menghebahkan maklumat keluaga berkenaan di laman sosial Facebook.

"Atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan terhadap anak-anak dan keluarga Allahyarhamuha yang masih lagi belajar memanggil kami untuk mengumpul sumbangan ini," katanya.

Selain empat anaknya itu, Allahyarhamuha Rohaya turut mempunyai tiga lagi anak yang masih bersekolah.

Saman: Kesatuan Sekerja DBP menang kes

Harakahdaily, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak dengan kos saman kes fitnah yang difailkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kamarul Zaman Shaharudin ke atas dua pemegang jawatan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wira Kamaludin Md Said ketika membaca penghakiman bertulisnya pagi tadi memutuskan bahawa saman yang difailkan oleh Kamarul Zaman itu wajar ditolak kerana beliau tidak boleh menyaman tort fitnah ke atas kedua-dua defendan iaitu Hasni Abas dan Yusuf Salim kerana mereka adalah pemegang jawatan Kesatuan Sekerja DBP.

Pada masa saman itu difailkan Hasni memegang jawatan Yang Dipertua Kesatuan manakala Yusuf pula adalah Setiausaha Kesatuan. Mereka disaman atas kapasiti pemegang jawatan Kesatuan Sekerja DBP.

Dalam penghakimannya, Hakim bersetuju dengan hujah peguam defendan bahawa saman Kamarul Zaman atas tuntutan tort fitnah adalah bertentangan dengan Seksyen 22 Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang memberi imuniti kepada mana-mana pemegang jawatan Kesatuan Sekerja atas tuntutan tort yang dilakukan oleh mana-mana pemegang jawatan Kesatuan selagi mana ia dilakukan bagi pihak kesatuan.

Hakim berpuas hati berdasarkan keterangan adalah jelas segala surat yang didakwa oleh Kamarul Zaman memfitnah beliau ditulis oleh Hasni bukan atas kapasiti peribadi beliau sebaliknya ianya dtulis oleh Hasni atas kapasiti beliau sebagai Yang Dipertua Kesatuan dan ia ditulis bagi pihak kesatuan.

Surat-surat yang ditulis oleh Hasni adalah bagi menyatakan bantahan rasmi kesatuan atas pelantikan Kamarul Zaman sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP yang dikatakan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh DBP sendiri.

Keputusan kes ini adalah boleh dikira satu ‘landmark’ kerana buat kali pertamanya mahkamah memutuskan bahawa seorang pemegang jawatan Kesatuan Sekerja bagi tuntutan tort iaitu tort fitnah.

Dalam samannya Kamarul Zaman juga menamakan Kesatuan Sekerja DBP dan 4 orang pemegang jawatan kesatuan tersebut.

Bagaimanapun tuntutan ke atas kesatuan awal-awal lagi ditolak oleh mahkamah apabila peguam defendan memfailkan permohonan membatalkan saman tersebut.

Dua orang defendan selain Hasni dan Yusuf yang juga disaman oleh Kamarulzaman memilih untuk berunding dengan Kamarulzaman bagi membayar Kamarulzaman yang mana Hasni dan Yusuf tidak bersetuju dengan rundingan tersebut dan terus melawan kes tersebut sehingga selesai.

Isu pelantikan Kamarul Zaman sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP menjadi kontroversi awam sehingga dibawa ke Parlimen kerana wujudnya bukti yang menunjukkan bahawa semasa proses temuduga bagi jawatan tersebut calon yang tinggi markahnya dari Kamarul Zaman iaitu Khalid telah tidak dipilih ke jawatan tersebut dan ianya menimbulkan isu antara kesatuan dan pihak pengurusan DBP.

Hasni dan Yusuf diwakili oleh Azhana Mohd Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Kamarul Zaman diwakili oleh
Hazlan Abdul Hamid.

Dengan kekalahan itu, Kamarulzaman juga diperintahkan mahkamah untuk membayar kos sebanyak RM20,000 ke atas defendan-defendan.

Untuk rekod, Hasni Abas adalah antara tenaga penggerak utama kempen menentang PPSMI dan pada masa ini giat dalam aktiviti aktiviti Paksi.

Rasional subsidi minyak sekadar penyedap telinga

Salmiyah Harun, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kenyataan kononnya kerajaan merasionalisasikan subsidi petrol untuk terus melaksanakan pelbagai program sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara disifatkan untuk menyedapkan telinga dan meredakan kemarahan serta ketidakpuasan hati rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah berkata, selama ini program mengurangkan kadar kemiskinan masih di tahap yang kurang menyeluruh dan tidak begitu kontruktif memandangkan banyak yang menjurus kepada bantuan 'one off' dan seumpamanya.

"Tetapi bukankah program bantuan golongan miskin dan kurang kadar kemiskinan ini suatu kewajipan kerajaan dan telah ada sebelum kenaikan 20 sen bahan bakar?

"Cakap-cakap Timbalan Menteri ini hanya berupa satu usaha untuk menyedapkan telinga dan meredahkan kemarahan serta ketidapuasan hati rayat sahaja," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata tindakan kerajaan memotong subsidi 20 sen itu untuk terus mengiatkan pelbagai program bagi membantu golongan miskin dan mengurangkan kadar kemiskinan negara.

Seterusnya kata beliau, kerajaan terus membohongi rakyat maskin dengan janji-janji manis mereka, ia bukan satu usaha khusus pun dalam menghadapi kesan domino kenaikan harga bahan bakar.

Jelasnya, pelbagai program bantuan rakyat miskin seperti bantuan kepada warga emas dan bantuan kebajikan difahamkan beberapa kali terputus dan sasaran terpaksa berulang alik ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat permohonan baru dan semakan berbulan-bulan barulah bantuan dapat dinikmati semula.

Justeru beliau meminta kerajaan hentikan cakap-cakap politiki yang bertujuan mengaburi mata rakyat, adalah lebih baik kementerian menambahbaik khidmat yang sedia ada yang masih kurang cekap dan kurang berkesan.

"Apakah kementerian sedar bertapa isi rumah rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung hutang yang jauh lebih tinggi berbanding hutang negara.

"Kerajaan hakikatnya gagal menangani isu kemiskinan dan kedhaifan rakyat khususnya masyarakat Melayu dengan nisbah setiap empat keluarga Melayu tiga adalah miskin," katanya.

Siasat sindiket pujuk peneroka pajak ladang

Khairil Abdul Rahim, 18 Sep 2013
TEMERLOH: Pihak Felda diminta memberikan penjelasan berhubung aduan daripada peneroka seluruh negara berkaitan satu sindiket memujuk peneroka supaya memajakkan ladang mereka selama 30 tahun.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, pada ketika ini sedang hangat diperkatakan di tanah-tanah rancangan ada pihak yang datang menawarkan bayaran pajakan sebanyak RM3,000 sebulan.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterimanya ada juga yang menawarkan bayaran sekali gus sekitar RM150,000 dan mereka mula bergerak di tanah-tanah rancangan sejurus berakhir pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“Apa yang mengejutkan saya ialah ada yang mengaitkan tawaran yang sama dibuat melalui pejabat-pejabat Felda. Jadi kita minta Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan atau Pengurus Besarnya Datuk Faizol memberikan penjelasan.

“Pada masa ini 90% daripada kebun-kebun peneroka sudah diserah dan diusahakan oleh Felda. Hanya sekitar 10% sahaja peneroka yang mengusahakannya sendiri. Jadi jika ada kaitan dengan Felda apa perlunya dipajak pula sehingga 30 tahun?” soal Mazlan.

Tambahnya lagi, apakah muslihat ini kerana kecairan tunai Felda telah berkurangan sehingga mahu dipajak pula tanah peneroka untuk dijadikan cagaran kepada institusi kewangan.

Sekarang ini tanah Felda Plantation seluas 360,000 hektar sudahpun dipajak kepada Felda Global Ventures Holding selama 99 tahun.

“Bagi saya, jika betul ada usaha memajak tanah peneroka seluas 600,000 hektar ini ia satu pengkhianatan besar kepada orang Melayu. Tidak mustahil itu cubaan untuk menggadaikan tanah ladang peneroka kerana nasib malang yang sama telahpun menimpa peneroka-peneroka Felda Cahaya Baru, Sendayan dan Labu Johnson.

“Bayangkan, Felda-Felda itu sudah ada perjanjian hitam-putihpun peneroka masih tidak dapat duit yang dijanjikan kerana ditipu. Apa jaminannya selama 30 tahun pajakan  sedangkan harga komoditi selalu turun naik.

“Oleh itu nasihat saya kepada peneroka berhati-hatilah jika ada yang datang memujuk minta pajak ladang, laporkan saja kepada polis,” tegasnya.

Menjejaki sejarah di sebalik keruntuhan Soviet Union

Lan Jusoh, 18 Sep 2013

SEJARAH dua kuasa besar yang menguasai dunia suatu ketika dahulu iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union, kini hanya tinggal kenangan.

Sekarang tinggal negara polis dunia sahaja. Soviet hancur dan sebahagian negara di wilayah timur menyertai Eropah.

Negara terbabit terletak di antara Eropah Tengah dan pergunungan Ural atau sekarang lebih dikenali sebagai negara-negara Eropah bekas "Blok Timur".

Eropah Timur dan Tenggara meliputi Albania, Bosnia dan Herzegovina, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Greece, Hungary, Poland, Serbia, Slovakia, Slovenia, Republik Macedonia, Turki, Ukraine.

Sempadan Eropah Timur muncul ketika menjelang akhir Perang Dunia II. Sebahagian negara tersebut pada awalnya berada di bawah pengaruh atau penguasaan Soviet.

Rakyat Malaysia berpeluang menghayati dari dekat sejarah tersebut melalui pelbagai pakej ditawarkan syarikat-syarikat pelancongan tempatan.

Antaranya POTO Travel & Tours menawarkan pakej pelancongan menarik ke negara Balkan bagi membolehkan rakyat negara ini melihat dari dekat sejarah tamadun awal yang mengujakan.

Dan hari ini rombongan seramai 32 peserta akan menjejaki sejarah negara Republic Czech, Hungary dan Jerman.

Mereka akan dibawa melawat beberapa lokasi bersejarah di Frankfurt, Karlovy Vary, Prague, Bratislava, Budapest, Vienna dan Munich.

Rombongan tersebut diketuai Shazali Johari dari Poto Travel & Tours turut disertai wakil akhbar Harakah.

Poto Travel sejak beberapa tahun lalu mengadakan kerjasama erat dengan akhbar Harakah bagi memaparkan lokasi menarik yang mempunyai nilai sejarah dan tamadun di Eropah Timur.

Melewati bumi terbabit membolehkan kita menghayati kepayahan dan kesengsaraan manusia akibat Perang Dingin antara negara-negara Pakatan NATO dan Warsaw.

Malah runtuhnya Tembok Berlin berjaya menyatukan semula Jerman yang sebelum ini terpisah antara Timur dan Barat. Ia memberi makna besar bagi sebuah tamadun bangsa.

Negara-negara Baltik tersebut berbeza sejarah politik, agama, kebudayaan, dan ekonomi berbanding jiran-jiran lain di sebelah timur, pasca-Soviet.

Misalnya Prague ibu kota Republik Czech menjadi destinasi pelancongan sejarah dan budaya paling popular di Eropah.

Ia juga terkenal sebagai bandar yang menggabungkan ciri-ciri kesenian meliputi muzik, tarian, filem dan teater.

Selain itu juga dikenali sebagai permata seni bina Eropah dilihat romantis dengan kesan sejarah yang menakjubkan.

Manakala Bandar Karlovy Vary terletak di bahagian barat Republik Czech di kedudukan 120 km dari Prague terkenal pula sebagai bandar spa.

Anda juga mampu merakam semula sejarah dunia dengan menyertai pakej ditawarkan Poto Travel & Tours.

Tiada ulasan: